Karya Kreatif

Makanan Tradisional
Tersipu malu puteri si Raja,
Apabila di sapa tersangatlah ramah,
Murku bahulu dihidang semeja,
Sayang mengapa tidak dijamah?

Anggun akasia si putera tertambat,
Cantik rupa persis si ratna,
1Malaysia dicanang hebat,
Berjarak sedepa perpaduan dimana?

Hinggap pedada diperdu seraya,
Bermadah pedusi tepian laman,
Prakarsa tiada pertahan budaya,
Menghakis tradisi luput dek zaman.
Image result for makanan tradisional

Tahun Baru

Beras senyiru disedekah jariah,
Lengan disinsing tanda terharu,
Tahun baru disambut meriah,
Fajar menyinsing azam yang baru.

Terbang meluru seekor pepatung,
Kakinya melekat mengenyit sesungut,
Kalender baru sudah digantung,
Umur meningkat mengapa dirungut.

Makan so hun dirumah Pak Nizam,
Lembut gemalai anaknya bersanding,
Setiap tahun menanam azam,
Sudah terbengkalai masa ditunding.












Integriti

Kembali teruna ke Pulau Kembayat,
Gagah perkasa berlilit kepala,
Bagaimana dibina integriti rakyat,
Korupsi berleluasa ada pembela.

Agama
Tepian lombong pedusi menari,
Ternampak lembu tepian jejawi,
Sebatinya sombong didalam diri,
Kerana di qalbu tiada ukhrawi

Keamanan Sejagat
Duduk bersenang tepian telaga,
Dibawah sarang si ibu menyusu,
Dunia mencanang keamanan sejagat,
Gaza diserang mengapa membisu?

Tumbuh sejajar bunga melati,
Dicelahan dahan renting berduri,
Fatamorgana dikejar sampai ke mati,
Sirna kasihan hari ke hari.

Alam Sekitar
Putik siantan bersama buah,
Tersusun rapi tepian bendang,
Rezeki nak watan melimpah ruah,
Botol ditepi tidak dipandang.

Post a Comment

0 Comments